Monday, December 22, 2014
12:10 AM
Tahukah Anda : Hubungan Pasangan Mengikut Urutan Dalam Keluarga
Kenali bagaimana hubungan pasangan yang bakal anda miliki mengikut urutan dalam keluarga.
Orang tua dulu diketahui memang banyak kepercayaan dan pantang larangnya termasuklah, dalam urusan mencari pasangan hidup. Percaya atau tidak orang tua dulu kebanyakan berpegang kepada konsep untuk mengetahui sifat mahupun ciri peribadi calon pasangan yang dipilih, perlulah diketahui kedudukannya dalam struktur keluarga.
Orang tua dulu percaya, urutan kelahiran boleh mempengaruhi perilaku seseorang dalam menjalin hubungan kasih sayang. Maka itulah ada yang amat yakin, anak sulung sebaik-baiknya tidak sesuai berkahwin dengan pasangan juga anak sulung. Alasan diberi, kedua-duanya mempunyai sifat dasar yang sama, setidak-tidaknya sifat manja dan keras kepala.
Begitu jugalah jika anak bongsu, elakkan mencari pasangan yang sama-sama bongsu dalam keluarga kerana kedua-duanya sukar mengawal situasi. Selain itu, jika anak bongsu bertemu anak tunggal, hubungan itu turut dikatakan, bakal bergejolak kerana kedua-duanya sama-sama memerlukan perhatian.
Bagaimanapun, sulung bertemu tunggal ada keserasian, tetapi anak sulung tidak boleh terlalu tegas. Kecenderungan anak tunggal yang manja bererti harus ada pengorbanan dan mesti fahami keadaan itu.
Pasangan sama kedudukan anak tengah pula dikatakan, sangat padan. Pasangan ini dapat pergi ke mana pun dan memutuskan apa saja yang mereka sukai. Apabila yang satu cenderung seperti anak sulung, pasangannya pula seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.
Benar atau salah pandangan mahupun saranan orang tua dulu itu, tidaklah diketahui kebenarannya, tetapi ramai mengakui, persoalan ini sehingga kini masih menjadi bahan bicara. Namun, jika dihalusi ada kebenaran kerana lazimnya, untuk mengetahui karakter seseorang antara cara yang dapat dilihat adalah melalui urutan kelahiran, selain berdasarkan tarikh lahir.
Bagaimanapun, jika sudah ditakdirkan bertemu jodoh mampukah perasaan cinta dan kasih sayang itu diketepikan?
Pasangan baru lima bulan berkahwin, Nadia Noordin, 24, dan Daneal Micky Abdullah, 27, yang sama-sama dilahirkan anak sulung berkata, mereka langsung tidak pernah memikirkan soal itu.
Bagi mereka, apa yang lebih penting ialah ada keserasian dan mempunyai sikap saling faham memahami antara satu sama lain.
Nadia yang juga anak tunggal perempuan dalam dua beradik, tidak menafikan pernah mendengar orang tua dulu ada berkata, jika anak sulung berkahwin dengan anak sulung hubungan yang dibina agak 'panas' atau kerap bergaduh. Tetapi perkara itu tidak pernah menghantui dirinya ketika menerima Daneal sebagai teman hidupnya.
Malah, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui, tidak sangka Daneal yang dikenali empat tahun lalu sebagai rakan sekerja akhirnya, menjadi cinta hati.
“Sudah tentu ketika berkenalan, kami tahu masing-masing adalah anak sulung. Tetapi seingat saya, sepanjang perkenalan perkara itu tidak pernah dibincangkan atau dijadikan isu.
“Sebaliknya, semakin lama berkawan, semakin itulah saya dapat rasakan ada keserasian. Saya menerima Daneal sebagai teman hidup bukan saja dia memiliki ciri lelaki yang saya cari, tetapi yakin dia boleh melindungi dan menjaga saya," kata Nadia.
Bagi Nadia, urutan seseorang itu dalam keluarga bukanlah kayu pengukur utama untuk memastikan kebahagiaan sebuah keluarga yang dibina sebaliknya, terpulang sejauh mana pasangan berkenaan tahu mengendalikan masalah rumah tangga dan mencari penyelesaian sesuai supaya tidak terus porak peranda.
Katanya, walaupun usia perkahwinan mereka masih mentah apa yang dilihat memang banyak persamaan antara dirinya dan suami. Ini termasuklah, dalam soal tingkah laku dan perwatakan dalam diri sekali gus, memudahkan mereka untuk lebih memahami antara satu sama lain serta senang berbincang apabila ada pertikaian.
“Memang banyak persamaan. Tengoklah dari segi fizikal saja, kami kedua-duanya sama 'comel'. Perangai kami berdua juga agak keanak-anakan walaupun sudah berkahwin. Tetapi kalau bergaduh biasalah, saya saja yang hendak menang. Apa pun, antara kami sudah tentu ada kelemahan masing-masing dan sebab itulah perlu saling bantu membantu.
“Misalnya, saya hanya tahu masak yang asas saja, tetapi Daneal 'bab masak' memang handal kerana dia ada pengalaman bekerja di hotel. Oleh itu, dialah yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya," katanya.
Beliau berkata, meskipun beliau anak tunggal perempuan dalam keluarga, kedua orang tuanya tidaklah memanjakannya sangat. Bagaimanapun, tidak menafikan apa saja keinginannya akan dipenuhi orang tua, tetapi dengan syarat Nadia mesti memenuhi hasrat yang diinginkan mereka. Mungkin kerana itulah sikap suka merajuk terbawa-bawa hingga ke hari ini.
Kepercayaan sekadar satu panduan
Bagi Daneal Mickey Abdullah yang berasal dari Seri Aman, Sarawak dan dilahirkan dalam suku kaum Ulu (Kenyah), mengakui tidak pernah dengar adanya kepercayaan orang tua dulu mengenai keserasian pasangan mengikut urutan keluarga.
Jika ada sekali pun kepercayaan itu katanya, ia adalah semata-mata kepercayaan orang tua dulu dan seseorang itu hakikatnya tidak perlu bimbang seandainya yakin dengan keputusan yang diambil atau sudah ditakdirkan untuk bertemu jodoh.
“Biasalah, setiap karakter seseorang itu ada pasang surutnya. Jika ada tidak kena perlulah berbincang. Sebagai anak sulung dan mempunyai tiga adik yang lain, ibu bapa saya mendidik kami penuh disiplin serta sama rata. Kini, sebagai suami saya cuba memikul tanggungjawab memimpin keluarga sebaiknya," katanya.
Daniel turut mengakui, dalam banyak hal yang menimbulkan kekusutan memang dirinya yang selalu beralah dengan Nadia. Tetapi katanya, antara beralah dan mengalah, tentu ada perbezaannya.
Mengenai bagaimana hubungan cinta dengan isteri mula berputik, katanya semua berlaku tanpa diduga. Bermula sikap suka usik mengusik, lama kelamaan hati berubah bertambah sayang.
“Dulu kami bekerja satu tempat dan saya suka sekali mengusik Nadia. Akhirnya, hati pun mula melekat kerana Nadia cepat memahami hati saya dan tidak suka mengongkong," katanya.
Namun, sehingga kini Daneal masih tidak dapat lupa bagaimana gementar dirinya apabila 'ditemuduga' ibu bapa Nadia, ketika menyatakan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri. Tetapi Daneal begitu memahami situasi itu kerana sebagai anak tunggal perempuan dalam keluarga sudah tentu bukan mudah untuk mereka melepaskan Nadia.
Lebih-lebih lagi, ada jurang agama dan budaya antara kedua-dua keluarga.
“Syukur, kedua-dua belah pihak keluarga kami merestui dan berfikiran terbuka mengenai hal ini. Restu dan doa merekalah yang lebih penting daripada kami memikirkan struktur kedudukan kami dalam keluarga," katanya.
0 comments:
Post a Comment